Sekali lagi catatanku-semua ini-seperti bercakap kepada diri sendiri, sambil mengingati detik waktu dan ruang yang tidak akan kembali.
Aku mahu ingat tarikh itu. 16-18 September 2011, seminggu yang lalu aku pergi ke Kem Pemerkasaan Muslim. Kemudian, menggedik pula hadir ke forum Future of Islamic Feminism anjuran IRF bersama sahabat@adik-beradik, jantung hatiku.
Pada mulanya, hatiku seperti iya tak iya mahu pergi. Tutorial, assignment, tuntutan kuiz yang perlu ditelaah, semuanya merengek, berat hati melepaskanku. Apa yang mendorong aku pergi? Aku pun tak tahu. Yang aku tahu, hati berbisik "Pergilah, kalau itu yang Allah mahu". Kira macam tahap pasrah la. Tapi yang pelik, biasanya aku ni mudah terpengaruh dengan ajakan atau desiran kawa-kawan. Tapi waktu itu, tak tahulah dirasuk apa...'jiwa muslim feminist' barangkali..cewahh.
Tempoh itu, aku biarkan tubuhku mengalir bersama alam. Sepanjang menyusur, ku rakam setiap perjalanan. Moga ketemu pengajaran. Sepanjang banyak-banyak waktu menelusuri program, andai hatiku disentuh sedikit, aku sudah merasa puas, tidaklah aku pulang seperti tin kosong. Bunyi ja tung, tang, tung, tang. Tapi kosong.
Tarbiyyah itu tak sedap macam *makan maggie. Tapi maggie kalau ada mee ja tak cukup syarat. So, tarbiyyah ni macam inti pati, perisa a.k.a MSG la. Dia lah penyedap. Dia jugalah yang menentukan maggie kita tu rasa apa. Kalau letak rencah kari, maggie karilah jadinya, kalau letak perisa ekstrak madu, kismis dan etc, jadi itulah rasanya. *Kredit untuk seorang sahabatku-maggie ekstrak madu.
In a nut shell, kita akan ditempa dengan lulur besi tarbiyyah. Kita adalah hasil tempaan tarbiyyah.
Sebelum fenomena kelupaan menyerang, baik aku catat. Actually, at first I don't know what to write, but now I don't know how to stop. Dangerous. Aku nak cakap kita ini mudah rasa fobia. Bila sekali dah kena, dah terpahat dalam cip memori, automatically mind-set inside the brain. Macam ni, macam tu yang akan terjadi. Seperti mana salah anggap kita kepada idea-idea barat, begitu juga salah anggap kita ketika memandang benda lain.
Tak betul juga itu, kadang bukan sebab kita fobia, tapi hati memang merusuh tak mahu pergi. Nak buat macam mana? Bila hati kata tidak, tak semestinya badan tak boleh bergerak. Macam kereta, takkan tak semena-mena tak boleh bergerak. Immobile pun sebab tangki minyak kosong. Macam tu jugalah hati, perlu diisi. Tapi ingat isilah dengan minyak yang sesuai. Dan kalau kita tak bawa kereta, pergi stesen minyak, mana nak dapat minyak??
Sebenarnya ada dibahaskan di dalam salah satu slot 'Tasawwur Tarbiyyah Islamiyyah'. Secara spesifiknya, matlamat tarbiyyah untuk keahlian dan keanggotaan. Dah tak berapa ingat ayatnya, tapi lebih kurang begini, setelah menjalani proses ditarbiyyah, kita akan mentarbiyyah. Orang yang sudah mentarbiyyah dan sanggup pula merendahkan diri untuk ditarbiyyah kembali, itulah ikhlas. *Betulkan jika tersalah.
Ada pula masa satu modul ini, kami diberi dua cawan yang berisi air, kemudian diminta meletakkan sirap ke dalam satu cawan dan kopi ke dalam cawan yang satu lagi. Arahannya "Letak sirap dan kopi tu sampai nampak sedap"'. Dah siap pun letak, kami pun minum. Mestilah yang sirap nampak berselera, kopi pula hitam pahit semacam. Hasilnya, sirap rasa masin, kopi rasa manis.Toing,toing,toing. Nak kata punya lah memberku tak sangka air sirap tu masin, dia minum sampai termuntah balik. Terkejut!
Bukan penjelasan modul tu yang menyentap hatiku, tapi kenyataan fasilitator sesudah itu, "Baca bismILLAH tak sebelum minum? Kita hebat bercakap tentang jihad dan benda-benda yang besar, tapi melupakan benda yang kecil". Adakah aku one of them? segera aku semak diriku.
Hari ini, aku menyelak halaman Beduk Diketuk Solusi 35, ada satu kisah yang ingin kukongsi bersama.
Aku melihat dirinya sangat sederhana. Seorang pemandu teksi yang acap kali singgah untuk solat Subuh di masjid berhampiran dengan rumahku. Kekadang aku berpapasan dengannya lewat solat asar-jika kebetulan pulang awal daripada kerja. Wajahnya jernih walaupun jelas telah berusia. Umurnya, sekitar 65 tahun, mungkin.
"Kenapa masih bekerja pakcik?"
"Kenapa? pakcik dah nampak tua?" tanyanya kembali. Aku tersenyum. Senang dengan kemesraannya.
"Anak-anak masih kecil?" tanyaku lagi, mencungkil sebab sebenar dia masih bekerja walaupun selayaknya pada usia begitu dia berehat.
"Ah, pakcik dah bercucu! AlhamduLILLAH anak-anak semuanya sudah bekerja. Ada juga yang berniaga," kilas pakcik itu bersahaja.
"Kenapa pakcik masih bekerja?" tanyaku lagi sambil memegang bahunya mesra.
"Bukankah bekerja itu satu ibadah? Ibadah mana ada pencen," jawabnya pendek.
Bekerja itu Ibadah
Aku terdiam. Inilah ini pati "Kuliah Penghayatan Kerja Sebagai Satu Ibadah" yang selalu aku sampaikan dalam program-program latihan dan ceramah. Terasa malu, aku yang selalu menyampaikan ilmu tetapi pakcik ini yang menghayati dan mengamalkannya.
Ya, kalau kita bekerja keran ganjaran dan imbuhan, kita akan berhenti sebaik sahaja kita mendapatkannya. Tetapi kalau kita bekerja kerana ALLAH, atas dasar ibadah, kita akan terus bekerja walaupun telah mendapat imbuhan. Selagi ada tenaga. Walaupun aku kira pakcik ini telah mendapat imbuhan daripada anak-anaknya tetapi dia tetap bekerja kerana dia bekerja bukan kerana wang. Dia bekerja kerana ALLAH.
"Pakcik gembira dengan kerja ini?"
"Gembira. Pakcik tak ada kepandaian lain. Inilah sahaja kepandaian pakcik. Bawa teksi. Dengan cara inilah sahaja pakcik memberi khidmat kepada manusia lain," akuinya terus-terang.
Hebat, inilah yang dimaksudkan hadis Rasulullah s.a.w. yang selalu disampaikan oleh para ustaz, sebaik-baik manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain.
"Awal pakcik dah keluar? Lepas subuh terus bekerja?"
"Pagi-pagi ini murah rezeki. Pakcik suka mula awal tetapi habis awal. Malam boleh tumpukan pada kerja lain."
"Malam pakcik kerja apa pula?"
"Bukan kerja... Pakcik ikut kuliah-kuliah agama, belajar tajwid semula dan kadangkala ikut dalam majlis zikir. Itulah kerja pakcik yang dah berumur ni."
SubhanALLAH, sekali lagi pakcik ini mengamalkan apa yang disebut di dalam al-Quran "fa iza faraghta fansab"- maka apabila engkau telah selesai (dari satu urusan) tetaplah bekerja keras (untuk urusan lain). Maksudnya apabila selesai satu ibadah, kita sambung terus dengan ibadah lain pula. Tidak ada istilah rehat yang hakiki di dunia. Kita beribadah 'round the clock'-sepanjang waktu. Rehat hanya di syurga.
Biasa yang Luar Biasa
"Pakcik dulu mengaji agama di mana?" aku terus mencungkil.
"Pakcik tak pernah mengaji agama secara rasmi. Dulu sekolah kebangsaan sahaja. Apa yang pakcik dapat hasil mendengar sahaja. Mengaji dengar-dengar kata orang. Kadangkala di masjid, surau, dalam radio, atau melalui berbual-bual biasa."
"Apa yang pakcik cari semasa mengaji dengar-dengar itu?"
"Pakcik pegang satu sahaja, apabila dapat kita terus amal. Baru ilmu itu berkat."
Aku senyum. Memang luar biasa pakcik yang kelihatan biasa-biasa ini. Aku mendapat berita pakcik ini perna memulangkan wang berjumlah RM5,000 yang tertinggal oleh enumpang di dalam teksinya. Pernah juga dia bergelut dengan lelaki yang cuba merompak teksinya. Keberanian, kejujuran dan istiqamahnya menjaga solat jemaah sangat aku kagumi.
"Sekarang ni mudah dapat pelanggan?"
"Ada kala mudah, ada kalanya payah. Tak menentu. Sekarang ni susah nak jangka."
"Kalau pelanggan tidak ada, bagaimana?"
"Tu, CD kuliah-kuliah agama. Pakcik habiskan masa dengan dengar kuliah agama. Kalau letih mendengar, pakcik cubalah zikir sedikit-sedikit. Rezeki tetap ada. Tidak dalam bentuk duit, kita dapat dalam bentuk ilmu."
"Pakcik sihat, takda sakit-sakit?"
"Sakit tu mesti ada. Badan dah tua. Lenguh-lenguh, sakit urat, Tapi yang berat-berat tu tak adalah. AlhamduLILLAH."
"Pakcik makan makanan tambahan? Food supplement?" jolok aku.
"Tak ada. Pakcik cuma jaga makan dan jogging. Tubuh kita ni bukan kita punya...kena jaga baik-baik."
"Eh, pakcik, sepatutnya yang kita punyalah, kita kena jaga baik-baik."
"Tak tahulah pakcik. Tapi pakcik anggap tubuh kita ni amanah ALLAH. Apabila amanah, kita perlulah jaga baik-baik."
Terkedu aku dengan jawapan itu. Dalam hati, aku kagum orang seperti pakcik ini. Orang tua yang simple, tenang dan mempunyai prinsip yang tepat dan jelas dalam hidup. Dia bukan sahaja memandu teksi, tetapi dia benar-benar memandu kehidupannya. Inidividu yang dianggap marhaen ini rupanya mempunyai 'hati emas'. Isi cakap dan sikapnya semua al-Quran dan hadis, walau dia tidak petah menuturkan ayat al-Quran dan hadis.
Sesungguhnya, dia jauh lebih baik daripada para ustaz mahupun orang yang digelar alim, yang mulutnya berbuih dengan ayat Quran dan hadis tetapi, praktik, hati budi serta gaya hidupnya berbeza dengan ayat Quran dan hadis yang menjadi perhiasan lidahnya.
Tanda Ikhlas Itu
Kembali pada cerita pakcik pemandu teksi yang menjadi teman bual aku di serambi masjid selepas sama-sama mengerjakan solat asar tadi.
"Pakcik, apa yang paling susah sewaktu bekerja sebagai pemandu teksi ni?"
"Nak balas kejahatan dengan satu kebaikan. Itu yang paling susah. Pelanggan maki kita, kita balas dengan senyum. Orang herdik kita, kita minta maaf. Orang cuba tipu kita, kita elak dengan baik."
"Mengapa begitu pakcik"?
Dia terdiam. Setelah merenung agak panjang beliau berkata : "Itulah ujian yang menentukan kita ikhlas ataupun tidak...Kalau kita buat kerana ALLAH, insya-ALLAH kita boleh balas kejahatan dengan kebaikan. Atau sekurang-kurangnya tidak membalas. Kita diam sahaja."
Sekali lagi pakcik pemandu teksi ini telah menuturkan hikmah yang pernah disampaikan oleh Saidina Ali. "Tanda ikhlas itu," kata Saidina Ali, "ialah apabila pujian tidak menyebabkan kau menambah amal. Dan kejian manusia tidak menyebabkan kau mengurangkannya. Di hadapan dan di belakang manusia, ibadahmu tetap sama."
Dan sesungguhnya itulah juga inti pati ayat al-Quran, surah Fussilat ayat 34 yang bermaksud: "Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berbuat demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib."
Setelah bersalaman, pakcik pemandu teksi itu menuju ke teksinya.
"Ada janji dengan pelanggan. Assalamualaikum," katanya, terus memandu teksinya dengan ceria.
Aku? Aku terus duduk di tangga masjid sambil menghiung diri. Bolehkah aku meneladaninya? Bolehkah aku membalas kejahatan dengan satu kebaikan? Atau aku akan terus sibuk mencari dalil dan fakta untuk bahan tulisan atau ceramah sedangkan ada insan lain yang jauh lebih ikhlas telah mengamalkannya dalam kehidupan?
Ya, alangkah dungunya kita kalau hanya sibuk menghafal nama makanan sedangkan orang lain telah merasai dan menikmatinya! Begitulah perumpamaannya...
A reminder to myself : When you are so excited to explore and discover new and big things, make sure that you'll never let go even the smallest things.